Kuala Lumpur, 29 Januari: PETRA News hari ini telah melancarkan sebuah portal berita bahasa Melayu, Getaran.my melalui pelancaran hibrid maya yang pertama bagi sebuah portal berita seumpamanya di Malaysia.
Bertepatan dengan slogan “Gema, Berita dan Hiburan”, Getaran.my menjadi perantara utama dalam usaha memastikan berita tepat dan sahih terus disalurkan kepada rakyat Malaysia pada setiap masa. Getaran.my merupakan sebuah laman berita yang unik di mana keseimbangan antara berita utama dan berita gaya hidup serta hiburan terkini sentiasa diberi keutamaan.
Portal berita terbaru ini melengkapkan kejayaan yang dicapai PETRA News melalui pelancaran portal berita bahasa Inggeris mereka, The Vibes yang telah dilancarkan pada bulan September tahun lalu. Getaran.my bertujuan untuk mempromosikan nilai-nilai ketelusan dan keutuhan dalam berita-berita yang diterbitkan, tanpa unsur-unsur propaganda mahupun agenda dari mana-mana pihak di samping menyajikan pembaca dengan berita-berita gaya hidup serta hiburan yang terkini.
Editor Pengurusan Kumpulan PETRA News, Terence Fernandez mengatakan “PETRA News memberikan keutamaan kepada wartawan-wartawan serta anggota-anggota media yang kehilangan pekerjaan akibat daripada pandemik COVID-19. PETRA News juga sentiasa memastikan agar pekerja-pekerja kami terdiri daripada individu yang berbilang kaum bagi memupuk semangat nasionalisme. Saya berbangga kerana kami dapat mencapai aspirasi ini dengan The Vibes, dan kini dengan Getaran.my.”
M. Zulkifli Abd Jalil, atau lebih dikenali sebagai M.Zul yang menerajui pelancaran maya Getaran.my awal hari ini, juga mengetuai portal berita tersebut. Pengalaman industri lebih daripada 25 tahun beliau yang beralih daripada bidang perkhidmatannya sebagai ahli Majistret, ke dunia penyiaran melalui kejayaannya dengan The Malay Mail dan Media Prima. Beliau kini akan mengetuai sekumpulan ahli editorial berita di Getaran.my
“Saya amat berbangga kerana dapat memimpin wartawan-wartawan cemerlang di Getaran.my. Dalam era kita menempuhi saat-saat mencabar ini, kami berharap agar dapat menjadi inspirasi dalam lanskap media dengan melaporkan berita yang telus, tanpa rasa gentar mahupun pilih kasih. Sasaran kami adalah untuk menghasilkan berita politik dan hiburan terkini serta sentiasa peka terhadap trend dan citarasa terkini pembaca kami.” kata M.Zul.
“Getaran.my akan menjadi laman media yang dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang bangsa. Harapan kami adalah supaya Getaran.my mampu menjadi medium penyatuan masyarakat melalui penggunaan bahasa Melayu, disamping mengukuhkan silaturahim tanpa mengambil kira warna kulit.” jelas Terence.< /p>
Getaran.my juga disokong oleh Datuk Ahirudin Attan (Rocky Bru) sebagai Pengarah Eksekutif PETRA News.
Menurut beliau, semangat perpaduan inilah yang telah menjadikan aspirasi Getaran.my satu kenyataan, serta kejayaannya kelak dapat dicapai. Portal berita baharu yang akan menjadi sumber berita alternatif yang boleh dipercayai ini bertekad untuk melaporkan berita tanpa berat sebelah, disamping berusaha untuk meghiburkan rakyat Malaysia melalui kandungan berita hiburan yang pelbagai.